Friday, April 1, 2011

PENDEDAHAN FREEMASON YANG BERLAKU...


SETELAH mendengar kenyataan daripada pihak yang terlibat dengan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-24 baru-baru ini, blogger Mohammad Sufian Talib percaya bahawa hal ini terjadi secara kebetulan namun dia turut berpesan agar semua pihak terus berhati-hati dan tidak leka.
Menerusi kiriman emel, Sufian, 22, pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Jordan ini memohon maaf sekiranya pendedahan yang dibuat olehnya mengenai unsur-unsur Freemason dalam AJL24 mengguris hati banyak pihak termasuk artis.
Antara yang telah memberikan pandangan mereka baru-baru ini adalah penerbit AJL24, Gbam dan dua finalis AJL24 iaitu Alyah dan Hujan.
Sufian berkata, dia memberikan keterangan itu bagi pihak kumpulan pengkaji daripada gabungan Jejaki Tinggalan Rasul (JTR), Free Our Mind (FOM) dan Nur Toharah (NT).
“Pertama sekali kami ingin memohon maaf jika penerangan kami mengenai AJL yang mempunyai berbagai unsur ‘masonic’ dan ‘illuminati’ di dalamnya ada mengguris hati mana-mana pihak termasuk artis.
“Kami tidak menuduh mana-mana pihak atas apa yg berlaku. Dan setelah mendengar kenyataan dari pihak-pihak berwajib, saya langsung percaya bahawa ini terjadi secara kebetulan...juga berpesan agar terus berhati-hati dan tidak leka,” katanya menerusi emel itu.
Jelasnya lagi, pendedahan yang banyak ‘membuka mata’ banyak pihak itu lebih bersifat untuk saling mengingati dan menasihati saudara sesama Islam.
“Kami ingin berada dekat dengan artis-artis kerana kami menyayangi mereka sebagai saudara seIslam, kami bersaudara.
“Apa pun, alhamdulillah, sebahagian dari kita telah pun sedar mengenai pertubuhan rahsia ini.
“Mungkin ada yang hanya mengambil idea-idea dari barat, tetapi tidak dinafikan bahawa idea-idea ini telah ‘disaluti’ dengan pelbagai mesej bawah sedar dari pertubuhan ‘jahat’ ini sehingga kita terkena tempiasnya tanpa disedari,” ulasnya.
Dalam mengungkapkan ucapan maaf, Sufian turut berharap agar isu AJL ini tidak diperbesarkan lagi sebaliknya lebih menghebahkan tentang kuasa besar dunia yang ingin memesongkan akidah masyarakat Islam dewasa ini.
Ini kerana industri hiburan mempunyai kaitan yang paling mudah untuk menyerap perkara-perkara yang memesongkan akidah.
“Juga tidak dinafikan, industri hiburan adalah yang paling mudah untuk mereka tinggalkan 'tapak kaki' mereka walaupun kita tidak mengesani yang ini tapak kaki mereka atau tidak.
“Apa pun, kami berharap agar semua pihak sedar dan semakin berhati-hati dengan setiap aktiviti kita. Mesej kami, Islam adalah satu cara hidup yang syumul untuk diikuti dan diteladani... tidak ada yg lebih baik dari Islam...,” tuturnya lagi sambil menitipkan sepotong ayat al-Quran.
Ayat itu bermaksud: “Dan tidak akan sekali-kali Yahudi dan Nasrani itu redha kepada kamu (Muslim) sehingga kamu mengikuti (millah) jejak langkah (cara) mereka....”
Pada 12 Januari lalu, Sufian membuat pendedahan dalam blognya, jejakitinggalanrasul.blogspot.com mengenai unsur-unsur negatif yang ditemui sepanjang AJL24 berlangsung pada 10 Januari lalu di Stadium Putra Bukit Jalil.
Blog itu menunjukkan bukti-bukti gambar gerakan Freemason dan Illuminati yang dikatakan banyak mempunyai persamaan dengan set pentas program yang ditonton oleh 4.6 juta penonton itu.
Menurut sebuah akhbar, Freemason dan Illuminati adalah pertubuhan rahsia ke arah pembentukan New World Order dan mereka bergerak untuk mengawal dunia secara keseluruhan.
Antara yang mirip kepada lambang yang terdapat pada logo Freemason adalah set pentas ketika persembahan Datuk Siti Nurhaliza.
Sufian juga berkata: “Yang kedua, anda juga mungkin dapat lihat apa persamaan penari-penari ini dengan salah satu dari kerabat-kerabat firaun yang dipercayai oleh mereka mempunyai suatu yang berkuasa?
“Yang ketiga, Alyah yang merupakan finalis AJL 24 mengenakan gaun merah ala-ala ‘Lady In Red’ yang merupakan simbolik yang digunakan dalam menjayakan organisasi ini serta bagaimana mesej bawah sedar digunakan seperti yang dipertontonkan dalam filem Devil’s Advocate, The Matrix dan dokumentari The Arrivals bahagian 13.
“Anda mungkin tahu mengenai The Master Carpet, turut dikenali sebagai Checkered Floor yang digunakan dalam upacara tertentu oleh gerakan Freemason yang bertentangan dengan agama Islam.”
Sufian yang mewakili kumpulan pengkaji daripada gabungan Jejaki Tinggalan Rasul (JTR), Free Our Mind (FOM) dan Nur Toharah (NT) mengulas persamaan yang ditonjolkan oleh ramai pemain gitar seperti band Hujan dan Bunkface yang menggunakan tali pemegang gitar yang mirip kepada The Master Carpet.
  • E-mail this story
  • Print this story

IKHWAN AL-MUSLIMIN...

IKHWAN al-Muslimin diasaskan Hassan Al-Banna di Ismailliyah pada 1928 ketika berusia 23 tahun. Sebagai anak sulung, beliau amat mementingkan pendidikan adik-beradiknya.
Di bawah kepemimpinannya, Ikhwan al-Muslimin berjaya menjadi model sebagai gerakan Islam yang mampu menghadapi cabaran semasa.
Pada 1923, beliau memasuki Dar al’Ulum iaitu sekolah latihan guru di Kaherah.
Ini memberi peluang kepadanya bertemu pelajar Islam terkemuka tetapi beliau terganggu melihat nilai kebaratan terlalu ketara sehingga melemahkan pengaruh Islam.
 
Beliau kecewa kerana sarjana Islam di Universiti al-Azhar gagal menyuarakan tentangan mereka seperti peningkatan atheism dan pengaruh pendakwah Kristian.
 
Kemudian Hassan al-Banna menganggotai pertubuhan Jama’atul Makram al-Akhlaq al-Islamiyyah dan berdakwah ke seluruh negeri termasuk kedai kopi.
Beliau bertemu tokoh Islam terkenal seperti Muhibbuddin al-Khatib, Muhammad Rashid Reda dan Farid Wajdi.
Beliau mendapat ijazah pada 1927 dan menjawat jawatan guru bahasa Arab di sekolah rendah kebangsaan di Isma’iliyya.
Ketika menjadi guru, beliau sanggup memotong sebahagian gajinya dan peruntukan keluarganya. Hal itu menjadikan hubungan kekeluargaan mereka sangat rapat.
Gerakan Ikhwan al-Muslimin memberi tumpuan dalam bidang ekonomi dan sosial bagi menyebar kegiatan dakwah dan membuka kilang tekstil dan syarikat pengiklanan.
Selain itu, Ikhwan turut menubuhkan sekolah, pusat kesihatan di seluruh negara. Hasilnya, gerakan itu mendapat sambutan hebat bukan saja di Mesir tetapi di negara Arab lain.
Di era kegemilangannya, Ikhwan al-Muslimin mewujudkan lebih 2,000 cawangan di seluruh Mesir dengan dua juta pengikut.
Sementara itu, pemerintah Mesir pimpinan Abdul Nasser, seorang sosialis, mengharamkan al-Ikhwan pada 13 Januari 1954 ekoran pertempuran mahasiswa al-Ikhwan dengan pendukung pemerintah di Universiti al Azhar.
Pada tahun 1954, Abdul Nasser menjatuhkan hukuman mati terhadap Abdul Qadir Audah, Timbalan Mursyidul Am al-Ikhwan dan ulama al-Azhar merangkap pejuang dalam perang dengan Inggeris, Sheikh Muhammad Farghali.
Trajedi 1954 ini hampir meragut nyawa Mursyidul Am al-Ikhwan, Hasan Hudaybi di tali gantung tetapi beliau diserang penyakit jantung dan dijangka meninggal dunia dalam masa beberapa jam.
Abdul Nasser mengeluarkan surat pengampunan agar al Hudaybi mati di rumah bukannya di penjara tetapi Allah Maha Bijaksana dengan menggagalkan perencanaan jahat Nasser dengan melanjutkan umur al Hudaybi.
Pada 1965, sekelompok pimpinan al-Ikhwan mula merancang untuk bangkit semula secara sulit. Mursyidul Am menyerahkan obor perjuangan kepada pimpinan Syed Qutb Ibrahim dan dibantu Hajah Zainab Ghazali al Jabili, Ketua Umum Jamaah Muslimat dan Abdul Fattah Ismail.
Usaha ini mengalami kesukaran kerana Syed Qutb terpaksa menyampai arahan dari penjara dan ia bertambah sukar apabila pergerakan pimpinan al-Ikhwan dihidu cawangan khas Mesir.
Akibatnya gerakan pemutihan dilakukan dengan menangkap sebahagian besar pengikut al-Ikhwan. Ramai tokoh al-Ikhwan dihukum gantung termasuklah Syed Qutb dan Abdul Fattah Ismail manakala Hajjah Zainab dihukum penjara seumur hidup.
Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad, berkata gerakan Ikhwan Muslimin menyeru umat Islam kembali kepada ajaran agama sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah selain penerapan syariat Islam dalam kehidupan.
“Mereka sangat menekankan kesatuan serta kesepaduan sesama umat Islam berpaksikan Islam.
“Nama pertubuhan tersebut yang bermaksud persaudaraan Islam secara sendirinya boleh menggambarkan fokus pergerakan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, katanya kebangkitan rakyat Mesir ketika ini bukan dimulakan gerakan Ikhwan Muslimin tetapi golongan yang berasakan diri mereka tertindas dalam aspek ekonomi serta sosial sebelum disokong pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Ikhwan Muslimin.
Beliau berkata, gerakan itu ditubuhkan selepas pengaruh kumpulan pemikiran Barat bergerak begitu hebat di Mesir termasuk golongan feminisme.
“Kebangkitan nasionalisme Arab mencapai kemuncaknya berikutan penggulingan sistem Khilafah Islam Uthmaniyah di Turki oleh Kamal Attarturk.
“Dalam biografinya, Hasan al-Banna ada menyatakan bahawa keputusan menubuhkan Ikhwanul Muslimin kerana kejahilan umat Islam terhadap agama mereka,” katanya
Rahimi berkata, gerakan Ikhwanul Muslimin mendekati masyarakat dengan menonjolkan cara hidup Islam secara praktikal agar keindahan Islam itu dapat dilihat dengan jelas dan bukan sekadar retorik.
“Dalam berdakwah, mereka mengelak pertelingkahan, riak, kesombongan, menjauhi parti politik selain mengekang pengaruh British yang masih kuat walaupun Mesir diisytiharkan merdeka pada 1922.
“Mereka turut berperang menentang pencerobohan Yahudi ke atas Palestin yang didokong British,” katanya.
Beliau menyifatkan penentangan terhadap kerajaan Mesir adalah satu ketentuan Allah yang mempunyai banyak hikmah untuk difahami serta memberi pengajaran.
“Penganalisis politik berpendapat faktor utama membawa kepada keadaan di Mesir sekarang disebabkan ruang untuk rakyat menyuarakan masalah terbatas oleh perintah darurat dan jurang di antara pemerintah serta rakyat terlalu jauh,” katanya.
Beliau tidak menolak andaian bahawa kebangkitan itu turut ada kaitan dengan tempias yang berlaku di Tunisia apabila rakyatnya bangun untuk menggulingkan pemerintah mereka, Presiden Zine El Abidine Ben Ali yang memerintah kira-kira 23 tahun.
Keberanian dan pengorbanan rakyat Tunisia itu membuka mata masyarakat Mesir untuk melakukan perkara yang sama kepada Presiden Hosni Mubarak.
Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, berkata Hassan al-Banna bercita-cita menubuhkan gerakan Islam yang syumul bagi membimbing generasi dengan prinsip Islam secara menyeluruh.
“Al-Ikhwan amat mementingkan soal pendidikan dan pembukaan sekolah, justeru gerakan itu sering menyeru kerajaan Mesir mengambil berat pengajaran agama dan prinsip akhlak kepada generasi muda di sekolah,” katanya.
Beliau berkata, dalam kurikulum sekolah, gerakan itu mahu pemerintah memberi perhatian yang istimewa kepada sejarah dan tamadun Islam.
“Mereka mendesak mata pelajaran Islam diwajibkan di universiti dan memecat guru yang tiada berakhlak, jujur dan tidak mengambil berat mengenai Islam.
“Bagi menghapuskan buta huruf, Ikhwan menubuhkan beberapa sekolah percuma untuk pekerja dan orang kampung.
“Pada siang hari, terdapat kelas menghafal al-Quran sementara di waktu malam diadakan kursus untuk pemuda. Tenaga pengajar terdiri daripada pelajar universiti,” katanya.
Katanya, dari segi kebajikan masyarakat, Ikhwan memberi pelbagai perkhidmatan dengan menubuhkan persatuan bagi meningkatkan taraf hidup orang kampung di Mesir.
“Cawangan Ikhwan memberi sedekah kepada orang miskin, mengadakan bekalan elektrik ke kawasan kampung serta memungut derma pada bulan Ramadan.
“Mereka juga membuat bancian untuk mereka yang tidak berumah dan anak yatim manakala golongan cacat dan orang sakit mendapat sara hidup,” katanya.
Tidak hairanlah, apabila berlaku kebangkitan rakyat Mesir yang turut dikaitkan dengan pemberontakan menjatuhkan kerajaan di Tunisia, nama Ikhwan al-Muslimin tiba-tiba melonjak.