Saturday, May 14, 2011

Fakta! Penemuan Menakjubkan di Gurun Arab!

Assalamu'alaikum w.b.t.
Bertemu kembali. Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat dan sejahtera.

Malam ini seperti biasa penulis akan menyemak peti emel. Manalah tahu mungkin ada emel-emel penting yang perlu dibaca. Dalam keasyikan menyelongkar peti, penulis terbaca 1 emel daripada seseorang menerusi yahoogroups. Jadi, eloklah dikongsi bersama anda semua yang mungkin belum pernah menerima emel ini. Penulis menterjemah emel tersebut menggunakan "google translate". Jadi, jika sekiranya ada terjemahan yang kurang tepat, mohon diperbetulkan. Wallahua'lam.

Kekegiatan eksplorasi baru-baru ini di kawasan-kawasan timur selatan gurun pasir telah ditemukan dengan beberapa sisa-sisa tulang manusia dengan ukuran yang fenomenal. Kawasan gurun pasir di tanah Arab ini disebut sebagai wilayah kosong atau dalam bahasa Arab, 'Rab-Ul-Khalee'.



Penemuan ini ditemui oleh pasukan eksplorasi ARAMCO. Sebagaimana Allah s.w.t menyatakan dalam al-Quran bahawa Dia telah menciptakan manusia dengan ukuran yang fenomenal seperti yang Dia tidak diciptakan sebelumnya. Mereka adalah kaum Aad dimana Nabi Hud dihantar. Mereka sangat tinggi, besar dan sangat kuat sehingga mereka boleh meletakkan tangan mereka di sekitar batang pohon pokok dan mencabutnya. Kemudian orang-orang yang diberi kuasa berbalik melawan Allah s.w.t dan Nabi dan mereka melanggar batas -batas yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. Akibatnya, mereka telah dihancurkan. Ulama Arab Saudi yakin ini merupakan sisa-sisa kaum 'Aad. Tentera Saudi telah menutup seluruh wilayah tersebut dan tidak ada yang dibenarkan masuk kecuali pihak ARAMCO. Lihat lampiran dan perhatikan saiz dari dua lelaki yang berdiri di dalam gambar dan cuba bandingkan dengan saiz rangka tersebut.



Ini adalah bukti sebagaimana Allah s.w.t nyatakan di dalam al-Quran (Surah Hud) menyatakan cerita dari orang-orang yang mengkhianati ALLAH s.w.t.
-------{DIPETIK DAN DIUBAHSUAI DRI "empoweringmuslim.blogspot.com"}-----------

Friday, April 1, 2011

PENDEDAHAN FREEMASON YANG BERLAKU...


SETELAH mendengar kenyataan daripada pihak yang terlibat dengan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-24 baru-baru ini, blogger Mohammad Sufian Talib percaya bahawa hal ini terjadi secara kebetulan namun dia turut berpesan agar semua pihak terus berhati-hati dan tidak leka.
Menerusi kiriman emel, Sufian, 22, pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Jordan ini memohon maaf sekiranya pendedahan yang dibuat olehnya mengenai unsur-unsur Freemason dalam AJL24 mengguris hati banyak pihak termasuk artis.
Antara yang telah memberikan pandangan mereka baru-baru ini adalah penerbit AJL24, Gbam dan dua finalis AJL24 iaitu Alyah dan Hujan.
Sufian berkata, dia memberikan keterangan itu bagi pihak kumpulan pengkaji daripada gabungan Jejaki Tinggalan Rasul (JTR), Free Our Mind (FOM) dan Nur Toharah (NT).
“Pertama sekali kami ingin memohon maaf jika penerangan kami mengenai AJL yang mempunyai berbagai unsur ‘masonic’ dan ‘illuminati’ di dalamnya ada mengguris hati mana-mana pihak termasuk artis.
“Kami tidak menuduh mana-mana pihak atas apa yg berlaku. Dan setelah mendengar kenyataan dari pihak-pihak berwajib, saya langsung percaya bahawa ini terjadi secara kebetulan...juga berpesan agar terus berhati-hati dan tidak leka,” katanya menerusi emel itu.
Jelasnya lagi, pendedahan yang banyak ‘membuka mata’ banyak pihak itu lebih bersifat untuk saling mengingati dan menasihati saudara sesama Islam.
“Kami ingin berada dekat dengan artis-artis kerana kami menyayangi mereka sebagai saudara seIslam, kami bersaudara.
“Apa pun, alhamdulillah, sebahagian dari kita telah pun sedar mengenai pertubuhan rahsia ini.
“Mungkin ada yang hanya mengambil idea-idea dari barat, tetapi tidak dinafikan bahawa idea-idea ini telah ‘disaluti’ dengan pelbagai mesej bawah sedar dari pertubuhan ‘jahat’ ini sehingga kita terkena tempiasnya tanpa disedari,” ulasnya.
Dalam mengungkapkan ucapan maaf, Sufian turut berharap agar isu AJL ini tidak diperbesarkan lagi sebaliknya lebih menghebahkan tentang kuasa besar dunia yang ingin memesongkan akidah masyarakat Islam dewasa ini.
Ini kerana industri hiburan mempunyai kaitan yang paling mudah untuk menyerap perkara-perkara yang memesongkan akidah.
“Juga tidak dinafikan, industri hiburan adalah yang paling mudah untuk mereka tinggalkan 'tapak kaki' mereka walaupun kita tidak mengesani yang ini tapak kaki mereka atau tidak.
“Apa pun, kami berharap agar semua pihak sedar dan semakin berhati-hati dengan setiap aktiviti kita. Mesej kami, Islam adalah satu cara hidup yang syumul untuk diikuti dan diteladani... tidak ada yg lebih baik dari Islam...,” tuturnya lagi sambil menitipkan sepotong ayat al-Quran.
Ayat itu bermaksud: “Dan tidak akan sekali-kali Yahudi dan Nasrani itu redha kepada kamu (Muslim) sehingga kamu mengikuti (millah) jejak langkah (cara) mereka....”
Pada 12 Januari lalu, Sufian membuat pendedahan dalam blognya, jejakitinggalanrasul.blogspot.com mengenai unsur-unsur negatif yang ditemui sepanjang AJL24 berlangsung pada 10 Januari lalu di Stadium Putra Bukit Jalil.
Blog itu menunjukkan bukti-bukti gambar gerakan Freemason dan Illuminati yang dikatakan banyak mempunyai persamaan dengan set pentas program yang ditonton oleh 4.6 juta penonton itu.
Menurut sebuah akhbar, Freemason dan Illuminati adalah pertubuhan rahsia ke arah pembentukan New World Order dan mereka bergerak untuk mengawal dunia secara keseluruhan.
Antara yang mirip kepada lambang yang terdapat pada logo Freemason adalah set pentas ketika persembahan Datuk Siti Nurhaliza.
Sufian juga berkata: “Yang kedua, anda juga mungkin dapat lihat apa persamaan penari-penari ini dengan salah satu dari kerabat-kerabat firaun yang dipercayai oleh mereka mempunyai suatu yang berkuasa?
“Yang ketiga, Alyah yang merupakan finalis AJL 24 mengenakan gaun merah ala-ala ‘Lady In Red’ yang merupakan simbolik yang digunakan dalam menjayakan organisasi ini serta bagaimana mesej bawah sedar digunakan seperti yang dipertontonkan dalam filem Devil’s Advocate, The Matrix dan dokumentari The Arrivals bahagian 13.
“Anda mungkin tahu mengenai The Master Carpet, turut dikenali sebagai Checkered Floor yang digunakan dalam upacara tertentu oleh gerakan Freemason yang bertentangan dengan agama Islam.”
Sufian yang mewakili kumpulan pengkaji daripada gabungan Jejaki Tinggalan Rasul (JTR), Free Our Mind (FOM) dan Nur Toharah (NT) mengulas persamaan yang ditonjolkan oleh ramai pemain gitar seperti band Hujan dan Bunkface yang menggunakan tali pemegang gitar yang mirip kepada The Master Carpet.
  • E-mail this story
  • Print this story

IKHWAN AL-MUSLIMIN...

IKHWAN al-Muslimin diasaskan Hassan Al-Banna di Ismailliyah pada 1928 ketika berusia 23 tahun. Sebagai anak sulung, beliau amat mementingkan pendidikan adik-beradiknya.
Di bawah kepemimpinannya, Ikhwan al-Muslimin berjaya menjadi model sebagai gerakan Islam yang mampu menghadapi cabaran semasa.
Pada 1923, beliau memasuki Dar al’Ulum iaitu sekolah latihan guru di Kaherah.
Ini memberi peluang kepadanya bertemu pelajar Islam terkemuka tetapi beliau terganggu melihat nilai kebaratan terlalu ketara sehingga melemahkan pengaruh Islam.
 
Beliau kecewa kerana sarjana Islam di Universiti al-Azhar gagal menyuarakan tentangan mereka seperti peningkatan atheism dan pengaruh pendakwah Kristian.
 
Kemudian Hassan al-Banna menganggotai pertubuhan Jama’atul Makram al-Akhlaq al-Islamiyyah dan berdakwah ke seluruh negeri termasuk kedai kopi.
Beliau bertemu tokoh Islam terkenal seperti Muhibbuddin al-Khatib, Muhammad Rashid Reda dan Farid Wajdi.
Beliau mendapat ijazah pada 1927 dan menjawat jawatan guru bahasa Arab di sekolah rendah kebangsaan di Isma’iliyya.
Ketika menjadi guru, beliau sanggup memotong sebahagian gajinya dan peruntukan keluarganya. Hal itu menjadikan hubungan kekeluargaan mereka sangat rapat.
Gerakan Ikhwan al-Muslimin memberi tumpuan dalam bidang ekonomi dan sosial bagi menyebar kegiatan dakwah dan membuka kilang tekstil dan syarikat pengiklanan.
Selain itu, Ikhwan turut menubuhkan sekolah, pusat kesihatan di seluruh negara. Hasilnya, gerakan itu mendapat sambutan hebat bukan saja di Mesir tetapi di negara Arab lain.
Di era kegemilangannya, Ikhwan al-Muslimin mewujudkan lebih 2,000 cawangan di seluruh Mesir dengan dua juta pengikut.
Sementara itu, pemerintah Mesir pimpinan Abdul Nasser, seorang sosialis, mengharamkan al-Ikhwan pada 13 Januari 1954 ekoran pertempuran mahasiswa al-Ikhwan dengan pendukung pemerintah di Universiti al Azhar.
Pada tahun 1954, Abdul Nasser menjatuhkan hukuman mati terhadap Abdul Qadir Audah, Timbalan Mursyidul Am al-Ikhwan dan ulama al-Azhar merangkap pejuang dalam perang dengan Inggeris, Sheikh Muhammad Farghali.
Trajedi 1954 ini hampir meragut nyawa Mursyidul Am al-Ikhwan, Hasan Hudaybi di tali gantung tetapi beliau diserang penyakit jantung dan dijangka meninggal dunia dalam masa beberapa jam.
Abdul Nasser mengeluarkan surat pengampunan agar al Hudaybi mati di rumah bukannya di penjara tetapi Allah Maha Bijaksana dengan menggagalkan perencanaan jahat Nasser dengan melanjutkan umur al Hudaybi.
Pada 1965, sekelompok pimpinan al-Ikhwan mula merancang untuk bangkit semula secara sulit. Mursyidul Am menyerahkan obor perjuangan kepada pimpinan Syed Qutb Ibrahim dan dibantu Hajah Zainab Ghazali al Jabili, Ketua Umum Jamaah Muslimat dan Abdul Fattah Ismail.
Usaha ini mengalami kesukaran kerana Syed Qutb terpaksa menyampai arahan dari penjara dan ia bertambah sukar apabila pergerakan pimpinan al-Ikhwan dihidu cawangan khas Mesir.
Akibatnya gerakan pemutihan dilakukan dengan menangkap sebahagian besar pengikut al-Ikhwan. Ramai tokoh al-Ikhwan dihukum gantung termasuklah Syed Qutb dan Abdul Fattah Ismail manakala Hajjah Zainab dihukum penjara seumur hidup.
Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad, berkata gerakan Ikhwan Muslimin menyeru umat Islam kembali kepada ajaran agama sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah selain penerapan syariat Islam dalam kehidupan.
“Mereka sangat menekankan kesatuan serta kesepaduan sesama umat Islam berpaksikan Islam.
“Nama pertubuhan tersebut yang bermaksud persaudaraan Islam secara sendirinya boleh menggambarkan fokus pergerakan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, katanya kebangkitan rakyat Mesir ketika ini bukan dimulakan gerakan Ikhwan Muslimin tetapi golongan yang berasakan diri mereka tertindas dalam aspek ekonomi serta sosial sebelum disokong pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Ikhwan Muslimin.
Beliau berkata, gerakan itu ditubuhkan selepas pengaruh kumpulan pemikiran Barat bergerak begitu hebat di Mesir termasuk golongan feminisme.
“Kebangkitan nasionalisme Arab mencapai kemuncaknya berikutan penggulingan sistem Khilafah Islam Uthmaniyah di Turki oleh Kamal Attarturk.
“Dalam biografinya, Hasan al-Banna ada menyatakan bahawa keputusan menubuhkan Ikhwanul Muslimin kerana kejahilan umat Islam terhadap agama mereka,” katanya
Rahimi berkata, gerakan Ikhwanul Muslimin mendekati masyarakat dengan menonjolkan cara hidup Islam secara praktikal agar keindahan Islam itu dapat dilihat dengan jelas dan bukan sekadar retorik.
“Dalam berdakwah, mereka mengelak pertelingkahan, riak, kesombongan, menjauhi parti politik selain mengekang pengaruh British yang masih kuat walaupun Mesir diisytiharkan merdeka pada 1922.
“Mereka turut berperang menentang pencerobohan Yahudi ke atas Palestin yang didokong British,” katanya.
Beliau menyifatkan penentangan terhadap kerajaan Mesir adalah satu ketentuan Allah yang mempunyai banyak hikmah untuk difahami serta memberi pengajaran.
“Penganalisis politik berpendapat faktor utama membawa kepada keadaan di Mesir sekarang disebabkan ruang untuk rakyat menyuarakan masalah terbatas oleh perintah darurat dan jurang di antara pemerintah serta rakyat terlalu jauh,” katanya.
Beliau tidak menolak andaian bahawa kebangkitan itu turut ada kaitan dengan tempias yang berlaku di Tunisia apabila rakyatnya bangun untuk menggulingkan pemerintah mereka, Presiden Zine El Abidine Ben Ali yang memerintah kira-kira 23 tahun.
Keberanian dan pengorbanan rakyat Tunisia itu membuka mata masyarakat Mesir untuk melakukan perkara yang sama kepada Presiden Hosni Mubarak.
Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, berkata Hassan al-Banna bercita-cita menubuhkan gerakan Islam yang syumul bagi membimbing generasi dengan prinsip Islam secara menyeluruh.
“Al-Ikhwan amat mementingkan soal pendidikan dan pembukaan sekolah, justeru gerakan itu sering menyeru kerajaan Mesir mengambil berat pengajaran agama dan prinsip akhlak kepada generasi muda di sekolah,” katanya.
Beliau berkata, dalam kurikulum sekolah, gerakan itu mahu pemerintah memberi perhatian yang istimewa kepada sejarah dan tamadun Islam.
“Mereka mendesak mata pelajaran Islam diwajibkan di universiti dan memecat guru yang tiada berakhlak, jujur dan tidak mengambil berat mengenai Islam.
“Bagi menghapuskan buta huruf, Ikhwan menubuhkan beberapa sekolah percuma untuk pekerja dan orang kampung.
“Pada siang hari, terdapat kelas menghafal al-Quran sementara di waktu malam diadakan kursus untuk pemuda. Tenaga pengajar terdiri daripada pelajar universiti,” katanya.
Katanya, dari segi kebajikan masyarakat, Ikhwan memberi pelbagai perkhidmatan dengan menubuhkan persatuan bagi meningkatkan taraf hidup orang kampung di Mesir.
“Cawangan Ikhwan memberi sedekah kepada orang miskin, mengadakan bekalan elektrik ke kawasan kampung serta memungut derma pada bulan Ramadan.
“Mereka juga membuat bancian untuk mereka yang tidak berumah dan anak yatim manakala golongan cacat dan orang sakit mendapat sara hidup,” katanya.
Tidak hairanlah, apabila berlaku kebangkitan rakyat Mesir yang turut dikaitkan dengan pemberontakan menjatuhkan kerajaan di Tunisia, nama Ikhwan al-Muslimin tiba-tiba melonjak.

Friday, February 11, 2011

PENGHARAMAN HARI VALENTINE

HUKUM MENYAMBUT HARI VALENTINE

Oleh: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Sumber: http://akob73.blogspot.com

Tarikh 14hb Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka pada 14hb Februari pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian-pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah. Pasangan-pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adengan-adengan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya. Saban tahun juga para ulamak mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ianya seperti menuang air ke daun keladi. Oleh itu penulis melihat begitu pentingnya untuk mengupas sejarah sambutan Hari Valentine ini agar ianya dapat menyedarkan muda-mudi kita yang hanyut di lautan cinta bahawa ianya adalah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram.

SEJARAH SAMBUTAN HARI VALENTINE

Bila kita membicarakan tentang sejarah sambutan hari Valentine maka kita akan dapati bahawa terdapat 4 pendapat berkaitan dengannya.

Ø Pendapat pertama mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13hb hingga 18hb Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun. Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih 2 pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai 2 pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ianya akan menambahkan kesuburan mereka.

Ø Pendapat kedua mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat 2 versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini.

Versi pertama. Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II. Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari. Pengorban yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya. Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan ‘From your Valentine’ (Daripada Valentinemu). Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.

Versi kedua. Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.

Ø Pendapat ketiga. Ia dirayakan sempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.

Ø Pendapat keempat. menyatakan sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawan burung yang jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris.

Disini kita dapat melihat dengan jelas bahawa asal-usul sambutan Hari Valentine ini tidak ada hubung-kaitnya dengan budaya serta agama bagi umat Islam.


Hukum Menyambut Hari Valentine

Sebagaimana yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah dan disepakati oleh generasi awal umat Islam hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Ini sebagaimana yang firman Allah S.W.T.:

Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. – al-Hajj : 67

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai, no: 959.

Oleh itu hendaklah umat Islam hanya membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya khusus untuk umat Islam. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu 3 kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Mawlid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Qur’an dan lain-lain lagi. Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam malah ianya berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan Tahun Baru Masehi, Hari Halloween dan juga Hari Valentine yang sedang kita perbincangkan ini. Terdapat larangan daripada baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabdanya: Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512.

Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini merupakan satu upacara yang berhubung-kait dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian sebagaimana yang telah penulis paparkan sebelum ini. Justeru itu bagi mereka yang menyambut hari tersebut ditakuti dia tergolong dalam ke dua golongan tersebut sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. di atas. Apabila seseorang itu merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali peristiwa kematian St. Valentine maka tidak disangsikan lagi bahawa perbuatan tersebut boleh menyebabkan pelakunya terkeluar dari agama Islam. Apabila dia tidak bermaksud sedemikian dan menyambut Hari Valentine sekadar untuk bersuka-ria maka dia sebenarnya telah melakukan suatu kemungkaran yang besar kerana sambutan hari tersebut menyerupai perbuatan golongan yang durhaka kepada Allah S.W.T.. Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan, membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal. Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Syaikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”

Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan Hari Valentine ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). – al-Israa’ : 32

Sebagaimana yang telah dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 10 Februari 2007, Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahaya Mohamed Yusof telah menegaskan bahawa kes remaja hamil anak luar nikah meningkat pada akhir Februari dan awal Mac. Beliau berkata: “Sebahagian besar remaja yang ditempatkan di Kewaja mengadu mereka lupa diri ketika menyambut Hari Memperingati Kekasih atau Valentine’s Day. Mereka keluar berpasangan dan berpesta sehingga larut malam, kemudian mengambil pil khayal hingga tidak sedar terlanjur lalu hamil.”

Harus kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredhai Allah S.W.T.. Firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar)". –Al-Baqarah (2) : 120

Oleh itu mereka mempopularkan sambutan Hari Valentine ini di negara-negara Islam dan menampakkan sambutannya sebagai satu perkara yang begitu romantis serta indah bagi pasangan-pasangan yang ingin membuktikan perasaan cinta mereka. Inilah sebenarnya sikap syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyadur perbuatan maksiat agar kelihatan seperti satu perkara yang baik dan diamalkan oleh manusia tanpa rasa berdosa. Firman-Nya Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik". – al-Hijr (15) : 39-40

Bersandarkan kepada hujah-hujah di atas maka para ulamak telah merumuskan bahawa sambutan Hari Valentine adalah diharamkan bagi seluruh umat Islam. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.

Justeru itu hendaklah pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya untuk menghalang budaya golongan yang ingkar kepada Allah ini dari diamalkan oleh umat Islam di Malaysia. Media Massa sepatutnya dihalang dari memasyhurkan sambutan Hari Valentine ini kepada umat Islam. Sebagai gantian media massa perlu digunakan untuk menyebarkan fatwa-fatwa para ulamak yang mengharamkan sambutan Hari Valentine.